Monday, January 5, 2009

Tarbiyyah Kopi Cina

Salam.

Kopi menambah kesegaran petang.Menghirup kopi panas setelah pulang dari tempat kerja menjanjikan hawa baru,jasad bagai hidup semula dengan setiap cicipan.Itu belum lagi ditambah dengan cecahan roti bakar disapu dengan seri kaya.

Pergh.Layan siot.

Di negara China,kopi tidaklah menjadi sebahagian daripada sentimen patriotik rakyatnya.Kopi sangat berbeza dengan teh,yang mana budaya meminum teh sudah terkehadapan dengan tatacara meminumnya,kaedah hidangannya,dan etika ketika menuangnya.

Berbanding teh,kopi bagaikan kejutan baru di China.Maksud saya,kopi agak muda riwayatnya berbanding teh.Kopi dibawa ke China pada 1800-an,oleh penganut-penganut Jesuit.Era 1930-an,satu fenomena baru telah melanda China,yang menyaksikan kopi menjadi sangat popular.Ini disebabkan lambakan pelancong-pelancong dari barat yang gemar mengunjungi tempat-tempat seperti Shanghai.Kemudian kedai-kedai kopi mula dimiliki oleh rakyat China,yang menjadikan di era 1980-an,industri kopi mula mendapat tempat yang kukuh di negara itu.

Seorang teman pernah memberitahu saya suatu ungkapan cina yang sangat menarik:

"Jikalau anda mahu meminum kopi di cawan saya,kosongkan dahulu cawan anda,agar saya dapat menuang kopi ke dalamnya."


Sedikit sebanyak begitulah bunyinya.Maksudnya,jika anda ingin saya mengajar anda,ketepikan dahulu ego anda,baru mudah untuk saya menyampaikan ilmu kepada anda.















Kopi dan Ujub

Terkadang,kita menjadi hairan,menjadi takjub dengan sedikit kelebihan yang dikurniakan Allah.Betapa Allah hanya memberi sedikit daripada seluruh kekuasaanNya,ilmuNya,hartaNya,tidak luak,namun segalanya menjadikan kita berasa ujub,berasa lebih hebat daripada orang yang tidak seperti kita.

Suatu ungkapan Saidina Ali yang sangat terkenal:

"Siapa sahaja yang mengajarku hatta satu Alif sekalipun,maka dia adalah guruku."


Lihatlah kesan tarbiyyah RasuluLLAH.Seorang khalifah yang 'alim juga mampu tunduk kepada seorang jahil,jika yang disampaikan itu benar.Lihat bagaimana Saidina Umar mempersilakan ummat Islam di bawah pemerintahannya agar menegurnya jika dia tersilap.Seorang wanita pernah menegur Umar kerana kenyataannya mengenai mas kahwin yang mengundang ketidakpuashatian hati wanita itu.Adakah Umar memarahinya?Adakah wanita itu dipancungnya?Tidak!Malah Umar menerima dengan penuh tawadhu,rendah diri sebagai seorang hamba Allah yang tidak mungkin lari daripada kesilapan.

SubhanaLLAH.AstaghfiruLLAH.

Alangkah baiknya jika begini sifat kita.

Pencerahan dan Rendah Diri

Kita di dalam pencerahan,di dalam tarbiyyah selalu menyaksikan perubahan pengurusan,dan pemeringkatan tahap kefahaman.Kadang-kadang kita menjadi "setahap",pemahaman lebih kurang sama dengan bekas pembimbing.Lantas kita mudah terbawa-bawa,berasa diri sudah cukup di jalan Allah.Kadang-kadang meletakkan diri dalam keadaan futur,dalam keadaan "tidak dahaga",kerana kononnya kita kini sudah berada di "jalan syurga",bukan lagi seperti di zaman Jahiliyyah,atau kegelapan dahulu.Maka apa gunanya bersusah-susah,pasti diri ini akan dipandang Allah,ekoran kehebatan di medan-medan dakwah.

Sahabatku,jangan perasan.

Tundukkanlah hatimu,kerana ia juga dihitung amalnya oleh Allah di akhirat nanti.Jangan mudah menghukum orang ini jauh daripada Allah,atau orang itu pasti dimurkaiNya.Sedarlah,terutama diriku yang menulis.Jalan kemenangan itu pasti jauh dan sukar.Ingatlah bagaimana Allah merakamkan ketika Qarun mengatakan:

“Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)."(Al-Qashash: 78)


Orang yang berdosa apabila disiksa,tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka.AstagfiruLLAH.Ayuh,kosongkan kopi di cawan kita!

muhammadblack
ara damansara
5 Januari 2009

3 comments:

intan.dayana said...

kalo xminum kOpi mcm mane ek nak kosongkan..??

muhammadblack said...

kalo tak minum kopi?

maksudnya hati anda telah begitu tawadhu dan ikhlas.

hehe.

intan.dayana said...

erk..byk la kO..adesss~
aku mmg xminum kOpi kOt.
aku minum teh ngan milO jek.
sekian.