Thursday, January 26, 2012

Kemenangan Islam


  Sesungguhnya kemenangan itu tidak datang daripada teriak sorak takbir yang memecah hening dalam semangat kejihadan yang meluap.Kemenangan itu tidak akan muncul bersama ribuan jiwa yang berkumpul berdemonstrasi menolak kemungkaran.Tidak akan terbit walau habis suara menjerit,tidak akan lahir dengan retorik bahasa setinggi langit.

 Sheikh Mustafa Masyhur pernah dengan masyhurnya berkata: "Sesungguhnya tarbiyyah Islamiyyah itu tidak akan berhenti walau setelah munculnya daulah Islamiyyah."

 Sejujurnya perang ini berterusan.Ia bukan asal-asalan,bukan bermusim dan bertakwim.Islam itu bukan tertegak atas pesatnya adrenalin mengalir dalam melawan kejahatan, ia adalah upaya susah-payah setiap jiwa ummatnya dalam perang hawa nafsu yang terpaksa setiap hari dihadapinya.

 Islam itu agama jihad. Dan jihad itu bukan sebarang.

 Jihad itu bukan semata-mata membuktikan keikhlasan di depan manusia. Ia membuktikan perhambaan di depan Allah. Jihad itu bukan sekadar mengangkat senjata, bukan sekadar berdemonstrasi dalam usaha menjatuhkan kerajaan yang penuh angkara.

 Islam itu agama jihad. Dan jihad itu bukan sebarang.

 Jihadnya ummat Islam itu setiap hari.Dalam solat subuhnya setiap pagi.Dalam tekunnya dia menjaga tahajjud.Dalam penuh komitmennya dia menjaga solat berjemaah.Beristighfar ratusan kali sehari. Membiasakan lidah dengan dzikrullah.Bersusah-susah membanyakkan tilawah.Berusaha mendekat jiwa dengan Allah.

Oh,apalah gunanya kerajaan yang Islam jika jiwa-jiwa rakyatnya belum mampu menjadi Muslim?

Dan siapakah yang akan memenuhkan masjid-masjid indah kerajaan Islam ini apabila sampainya waktu-waktu solat fardhu,dan apakah cukup dengan mengagungkan undang-undang Islami untuk kita katakan yang negara itu negara Islam?

 Apakah dengan terpotongnya tangan pencuri tegar dan tersebatnya penzina mungkar itu cukup untuk kita katakan negara itu negara Islam?

Duhai jiwa-jiwa yang mengaku bershahadah,Allah itu berfirman dalam Al-Qurannya:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).Dan mereka yang menjaga kehormatannya,kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi.Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Al-Mukminun:1-11) 
Apakah sudah cukup kita khusyuk dalam solat?Sudahkah kita menjauhi setiap yang sia-sia?Sudah elokkah berzakat?Sudah terjagakah nafsu?Dan sudah tetapkah memelihara solat fardhu?

Kalaulah semuanya belum,istighfarlah.Mungkin belum lagi saatnya untuk kita berani mengaku sebagai pemenang.

Dan mungkin,sorak-sorak mahukan daulah Islamiyyah belum lagi bermakna,kerana dalam setiap solat fardhu kita masih belum mampu mendapatkan jamaah yang penuh,dan khusyuk solatnya.

Monday, October 24, 2011

Celupan Allah


Pernah,satu masa seorang Badwi menjadi mulia.Sang Nabi pedoman murni mengagih-agih harta rampasan perang,dan Badwi menolaknya.Katanya dia tidak berjuang untuk semua yang emas dan perak.Jerihnya bukan untuk disanjung,susahnya bukan mahu didukung.

Sambil menunjukkan ke lehernya,katanya:

"Aku hanya berjuang agar anak panah musuh dibenam dalam tengkukku ini,duhai Rasulullah."

Jelas.Tegas.Ikhlas.

Kontan jawab Rasul:

"Kalau itu mahumu,moga Allah sampaikan maksudmu."

Kemudian terjadilah lagi peperangan.Berjuanglah mukmin-mukmin mencari syahid,mencari syurga tertinggi langit.Syahadah,yang menjadi janji dengan Allah kini ternampak kesannya.Di medan tarung itu menjadi ramailah manusia yang percaya dan memuncak cintanya.

Seusai jihad,muslimin mencari Sang Badwi.Ternyatalah telah tembus anak panah musuh di tengkuknya.Badwi telah syahid,terjumpa syurga tertinggi langit.

Manusia-manusia yang tercelup dengan celupan Allah itu luar biasa.Cintanya mendasar dalam dan rindunya memusat dendam.Dia bercinta dengan Tuhan,dan cintanya sangat dahsyat.Merasakan kebersamaan Allah dalam setiap inci kehidupannya,dan merindui Allah pada waktu lupanya.Di saat-saat susah dia mencari Allah.Pada waktu-waktu bahagia dia memuji Yang Maha Kaya.

Firman-firman Allah,Penguasa Sekelian Manusia:

"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”." (Al-Baqarah:138)

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu). (Al-Baqarah:165)

Dan menjadi resam,setiap yang bercinta itu berkorban.Kau sudah tahu cerita Taj Mahal dan Shah Jehan.

Seorang sahabat namanya Mus'ab bin Umair.Sebelum Islamnya,dia pembuat hati menjadi cair.Terlalu tampannya Mus'ab sehingga para gadis menggilainya.Popular.Kaya.Dia yang paling ideal,paling sempurna.

Setelah Islamnya,dia menjadi syahid di Uhud.Saat dia mahu dikapankan,kainnya tidak cukup.Ditutup kepalanya terdedah kaki.Ditutup kaki terdedah kepala.Lantas ditutup kepalanya dan diambil daun-daun kering untuk menutup kakinya.

Itu harganya cinta,teman.Cinta untuk Tuhan.

Oh,apa sahaja yang sanggup aku dan kau korbankan?Bila pula kali terakhir aku dan kau meredam cinta-cinta yang memberhala dijiwa,selain cinta dengan Allah?

Kata mufassirin,celupan Allah itu agama.

Ayuh,kita beragama.Menjaga solat yang lima.Istiqamah dalam tilawah.Khusyuk dalam rukuk.Menghamba di dalam sujud.

Membasah lidah dalam dzikrullah.Mencari teman-teman pengingat Allah.Menjadi sibuk dengan kuliah-kuliah.Berdoa,penuh mendesah.Tahajjud,menghapus salah.

Dalam jutaan warna yang boleh kau corakkan jiwamu,warnakanlah dengan celupan Allah Yang Satu.

Moga akhirnya mati sebagai pemenang.

Friday, September 9, 2011

Hidayah


Umar Al-Khattab meluluh. Jiwanya tercerah dan sangat tersuluh.

Mulanya tidak.Mulanya dia membentak.Terdengar adiknya Fathimah Al-Khattab memeluk Islam,dia menjadi malu dan terpuncak geram.

Lantas dia menggegas. Menyusun langkahnya kemas. Menuju ke rumah adiknya,ingin tahu apa yang Fathimah percaya.

Dari luar terdengar Fathimah sedang membaca Al-Quran, Umar yang marah menjadi kebingungan.

"Apa sahaja yang kau bacakan? Biarkan aku melihatnya!"

Fathimah takut-takut. Namun kehendak abangnya tetap diturut.

Lalu Umar melontar:

"Taa’ Haa..."

Umar memusat tumpu.

"Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan..."

Umar menjadi bisu.

Selesai penghujung bacaannya, Umar Al-Khattab meluluh. Jiwanya tercerah dan sangat tersuluh.

"Ini bukan kalam manusia. Muhammad itu bukan pujangga."



Dia menjadi terhidayah.






Thursday, September 8, 2011

Kita menjadi khianat.

Kita menjadi laknat.Kita lupa Ramadhan yang nikmat.

Melaju kita menjadi celaka bila Ramadhan telah hilang.
Seolah santun kita menjemput bala Tuhan mendatang.

Sial.

Istiqamah itu sukar.

Wednesday, March 2, 2011

Semerbak Syukur Kasturi





Di satu sudut di Jonker Street,terletak Makam Hang Kasturi.

Putih.Sangat.

Di sana,terlihatlah Makam Kasturi yang memutih.Sangat putih.Dan telah hilang gemerlap sinar seorang Pahlawan Melayu ditelan kemeriahan jalan berniaga orang Cina yang padat.

Hei,namanya pun Jonker Street.Sesak.

Makam Kasturi,terbangun dengan binaan batu yang memutih.Lalu di situ terdapat pintu gerbangnya dan besar pula strukturnya.Sebenarnya,suasana sekelilingnya lebih kepada suram,bukan rindu.Mungkin kerana aku bukan betul-betul mengenal Hang Kasturi,dan tidak pernah membaca khusus mengenainya melainkan fakta yang dia salah seorang daripada lima.

Oh,bukan itu sebenarnya ceritanya.

Dalam aku melawat Pak Kasturi,datang seorang orang Putih.Kelihatan seperti dari Australia.

"Hai.Apa salah jika aku melawat di sini,teman?" kata Orang Putih.

"Oh,kau juga manusia.Kau setara dengan semua."

"Oh,kerana sebelum ini pintunya selalu berkunci.Siapa yang menghuni di sini?"

"Dia Kasturi.Salah satu daripada lima."

"Oh,apa boleh aku menyusun sembah dan meminta ketenangan darinya?"

Adikku bingkas, "Dia bukan Tuhan.Dia tidak menghidup dan mematikan."

Orang Putih berkerut.Dia membetulkan, "Tidak teman.Apa molek jika aku hanya melawat,dan bertanya khabar padanya?"

"Kalau yang itu apa salahnya.Apa yang salah jika mahu menyapa."

Dan kami lantas meninggalkan Makam Hang Kasturi selepas mendoakan kesejahteraannya.Menyusup masuk kedalam sesak manusia.

Dalam itu,aku mengalih jeling kembali kepada makam tadi.

Ternyata,sungguh kasihan.

Sungguh kasihan melihat orang Putih tadi kemas menyusun sembah dan memejamkan matanya.Seolah-olah Kasturi adalah Tuhan dan dia hambanya.Wajahnya seperti sedang sangat khusyuk,tenggelam dalam dunianya.

Sungguh,kasihan melihat manusia yang keliru.

Allah,kalaulah tidak kau mencampakkan tauhid dalam dada-dada kami,bagaimana?

Bagaimana agaknya kalau tiada hidup selepas mati?Bagaimana agaknya kalau tiada syurga yang menanti?Bagaimana agaknya kalau kami tidak bersyahadah,dan jiwa tidak terisi?

Aisemen.

Dalam setiap saat yang susah dan berat,kami ada Tuhan yang kami boleh berdoa padaNya.Jiwa yang rapuh ini sangat memerlukan perasaan tidak berseorangan,dan dengan Tauhid,kami percaya,yang Kau selalu ada.Di saat susah dan pada waktu-waktu bahagia.Lantas kami merasakan sangat cukup,walau melarat dalam hidup.

Di hadapan Makam Kasturi,pada waktu Allah meneladani;sungguh,terima kasih Tuhan.Sangat.