Sunday, January 2, 2011

Di Malam Pertama Tahun Baru

Di malam pertama tahun baru,Allah itu,Maha Guru.

Bila kau menjadi pendosa yang larut, yang mahu terus tenggelam dalam silap,tiba-tiba hati disumbat cahaya.Macam kamu yang di kerusi-kerusi ujianmu menyangka kononnya kamu bakal gagal dalam beberapa subjek kerana kurangnya persediaan,tiba-tiba di beberapa minit terakhir sebelum ujian,ada sahabat yang lebih kurang sama nasibnya datang memberi soalan bocor.

Saat itu,kau mahu bercinta dengannya biarpun sifat maskulinnya sangat pekat.

Pada waktu yang aku terasa begitu berdosa dan sifat yang dahulunya manusia sudah semakin membabi,Allah itu menjadi Maha Guru.Mengajar yang sebenarnya kita ini manusia,yang selalu silap dan leka.Mengajar bahawasanya yang lebih penting daripada kesilapan itu ialah agar kau cepat bertaubat dan bertekad tidak mahu mengulanginya.

Ah sungguh,hidayah itu bukan di tangan siapa-siapa.Kadang-kadang dari jalan yang kau lansung tak dapat duga.

Di malam pertama tahun baru,seorang teman ketika santai-santai di kedai makan,berkongsi semua rasa.Lantas jiwanya yang penuh dengan rasa percaya mengalirkan air-air petunjuk ke atas kemarau jiwa pendosa ini:

"Aku ingin berada dalam satu jalan yang menjamin penerimaan Kitab Amalan pada tangan kanan."

Sepotong ayat seorang teman yang perlahan-lahan menghablur dosa-dosa yang memberat. Menjadikan terasa cukup kerdil,cukup kerikil.


Di malam pertama tahun baru ini,sungguh,terima kasih Tuhan.