Sunday, January 23, 2011

Masa Depan Kita Berdua

Kau mati.Kau dan aku akan mati.

Mati itu wajib.Jangkaukan lihatmu ke seluruh alam yang bernafas,pasti degupnya akan terhenti.Bagaimana juga kau melihatnya,kita sebenarnya berkongsi masa depan.Ya,cita-cita kita berlainan,tapi masa depan kita sama.Kita akan ke kuburan,disoal, dibangkitkan, diMahsyarkan, ditimbang amalan, dan diberi ganjaran.

Aku dan kau berkongsi masa depan.

Tulisan ini bukan mengajak bersikap terlalu gentar akan pengakhiran.Juga bukan untuk memomok dan menghantukan.Sesingkat mahu bertanya,bagaimana mahu matimu?

Beruntunglah mereka yang berhak merasa gembira dengan pemergiannya.Yang senang tersenyum,dan mungkin ketawa.

Bagaimana mahukau habiskan nafasmu?Bagaimana mahu bertemu dengan Tuhanmu?

Bila difikirkan,bila mendapat kesedaran,kau dan aku sedar,yang hidup ini sebenarnya kita sedang menuju mati.Ya,kau fikir ini cakap-cakap cliche.Namun jika benar kau melihatnya,ya jauh ke dalam hatimu,kau sebenarnya sedang berdebar.Bagaimana jika semua sudut lihatmu menjadi kelam,dan kau sudah bertukar alam?

Saat itu,semua menjadi kalut.Pantas setiap imbasan dosa-dosa lalu mengikut.

Oh,sungguh aku mahu mati sebagai pemenang.Yang tersenyum dan ketawa.Yang gembira bertemu Yang Maha Esa.

Dan Rasul cintaan kau dan aku berpesan:

Allah berfirman: Apabila hamba-Ku senang untuk bertemu dengan-Ku, Aku juga senang untuk bertemu dengannya. Dan jika dia tidak suka untuk bertemu dengan-Ku, Aku juga tidak suka untuk bertemu dengannya.(HR. Bukhari)

Diciptakan kau dan aku untuk menjadi hamba.Diciptakan kau dan aku untuk mati gembira.

Allah,jadikan setiap langkah,tingkah,helaan nafas,jalanan darah,semuanya menuju ke arah kesudahan yang memenangkan.Dosa kami membumi Ya Allah,namun ampunanmu pasti lebih besar daripada Bima Sakti.

Tuhan selamatkanlah.



2 comments:

Zafira said...

Assalamualaikum saudara. Maaf jika tidak selesa dengan gelaran 'saudara' walaupun sebelumnya pernah kita ini 'berutus komen' secara maya di SSS. Sekadar menghormati.

Saudara, sebetulnya, saya kurang jelas dengan entri bertajuk 'Masa Depan Kita Berdua'. Apakah 'konsep tajuk tersebut' hanya dilingkupkan kepada individu tertentu? Maaf, sekadar bertanya kerana ceteknya pemahaman saya untuk menterjemah maksud tersebut. Oh ya, saya jadi kurang jelas akan 'pati' tajuk setelah saya menamatkan bacaan keseluruhan entri.

Namun saudara, saya senang, begitu senang sekali, membaca bait-bait tersusun yang ada dalam penulisan entri ini. Saat membacanya, saya merasakan bahawa diri sebenarnya sedang 'diingatkan' secara berhemah lagi penuh hikmah. Mudah-mudahan, ditunjukkan jua kepada saya oleh Yang Kuasa akan pengajaran di sebaliknya.

Terima kasih atas segala penulisan yang ada dalam blog saudara. Setiap daripadanya jelas, berbentuk peringatan. Terima kasih sekali lagi untuk perkongsian ilmu ini. Tidaklah mengharapakan usaha saudara semata, namun semangat dan konsistensi saudara menghasilkan blog sebegini wajar dihargai oleh pembaca, saya salah satunya.

Wallahu'alam.

:)

shazleeshahazeman said...

Waalaikumussalam saudari Zafira.

Terima kasih,saya benar-benar menghargainya.Saya harap banyak lagi usaha-usaha sebegini bakal dapat dijelmakan oleh penulis-penulis lain.

Oh,pasal tajuk.'Kita Berdua' dalam 'Masa Depan Kita Berdua' bermaksud masa depan,tujuan kita semuanya sebagai manusia,iaitu kematian.Penggunaan 'Kita Berdua' juga merujuk kepada penggunaan kata ganti nama 'kau' dan 'aku' dalam entri ini.

Doakan saya istiqomah,dan selamat daripada semua penyakit jiwa.Terima kasih.