Monday, January 31, 2011

Revolusi Penulisan

Revolusi bukan perkataan mimpi.Ia boleh jadi pasti,boleh jadi jadi.Setiap pemikiran dan ideologi,kalau umbuk dan logik,menjanjikan pengikut dan pemercaya yang baik.Maka berbondonglah berpiket dan berdemonstrasi kerana diri rasa sudah rasi.Tatkala itu setiap langkah dan gerak menjadi berpunca,dan mempunyai hala.

Dan ideologi itu tidak semuanya benar.Bilamana kebenaran itu menjadi milik akal semata,maka apabila sesuatu yang dianggap logik dan secara kebetulannya popular pula,biarpun sebenarnya salah dan pesong,tetap dianggap baik oleh pengikut yang menggila.Di China apabila Mao Zedong dan Revolusi Budayanya sedang popular,maka golongan borjuis semuanya celaka.Lantas dibunuh orang-orang tua yang tidak berdosa hanya kononnya mereka golongan kaya dan berada,simbol ekonomi tidak sekata.Jelas,walaupun jutaan manusia mempunyai pendapat yang sama,tidak semestinya pendapat itu tepat.

Jadi ada apa dengan revolusi?

Dalam dunia yang mendapat maklumat semudah bernafas,jahiliyyah ligat membebas.

Revolusi boleh jadi berpunca daripada tulisan-tulisan.Komunisme itu berasal daripada tulisan-tulisan Karl Marx.Tulisan-tulisan yang dihadam dengan lumat,lantas menjadi darah yang mengalir deras dalam pembuluh,kemudian membentuk cara memandang dan cara mahu dipandang.Lalu muncullah penyeru kepada kebenaran karya penulis,dan ada pula pejuang yang lantang memegang prinsip-prinsip yang dirasakan benar dan cemerlang.

Lalu tulislah.Tulislah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.Yang memunculkan bumi dan lautan.Yang kebenarannya bukan sebatas akal yang cetek memandang,bukan sesingkat hidup di dunia.

Dan kau wujudkanlah revolusi pemikiran yang baharu,yang setiap tulisan-tulisanmu itu berpunca dan mempunyai hala.Malah insyaAllah berpahala.Bayangkan ruginya kau bila perkataanmu tidak mengajak kebenaran?Atau lebih malang apabila tulisanmu menyeru celaka?

Duhai,penulis-penulis siber.Duhai penyajak-penyajak super.Biarkanlah tulisanmu itu benar.Biarkanlah tulisanmu itu menimbul sedar.

Oh,biarlah pusaramu benderang setelah kau pulang kerana mereka membaca tulisanmu yang cemerlang.

2 comments:

Edy said...

MasyaAllah.

Shaz, kau benar. Revolusi kita biarlah berpaksikan akidah.

shazleeshahazeman said...

yup edy.ayuh!