Monday, January 17, 2011

Tokteh

Hari itu bangun tidur mama menangis.Dan hati anak mana yang tidak rasa turut terguris.

"Tokteh dah meninggal bang."

--------------------------------------------------------

Perjalanan mengambil masa yang sekejap.Biar perbualan mengangkasa dan mempetala, tetap hati masing-masing mengimbau memori bersama.

Tokteh bukan susuk yang mengikat semua jiwa dengan jasanya.Dia juga bukan yang bersusah-susah membantu pucuk-pucuk muda keluarga mencari kerja.Bukan juga yang keras menjaga resam dan susila.

Tapi memori tetap membekas,tokteh adalah tokteh.Seorang nenek yang penuh kasih.Setiap jenakanya,yang selalunya kecil-kecil;terselit hikmah dan cinta.Dan urai rambutnya yang memutih tetap tidak mampu menyorok senyumnya yang jernih.

Tokteh adalah tokteh.Bila kau diajak lawan bicara,maka dia handal bercerita.Tentunya,ditambah seri dengan senyumnya.

Dalam hari-hari terakhirnya,tokteh sakit.Teruk juga sehingga tidak berbangun.Bila sampai di hujung katilnya apa sahaja yang menyeksa jiwanya tidak kelihatan.Sedang yang jelas nampak mata bulat yang menjadi kecil ketika tawa memecah dan senyum mewajah.

Ini bukan nota rindu untuk tokteh.Ini nota bangga,saya pernah punya tokteh sepertinya.

Dan petang itu di pusara,sedang talkin dibaca,saya sedar,tokteh sudah tiada.Saya sedar yang wajah yang sentiasa memanis itu kini sedang menunggu penggantinya.

Saya faham itu.Dan apabila pesan nabi yang untuk seorang anak adam itu,apabila pergi hanya 3 yang dibawanya (sedekah jariah,ilmu bermanfaat,dan doa anak soleh),saya berharap dapat menjadi si soleh yang kekal berdoa untuknya.

Allah,ampunkan tokteh.