Thursday, January 26, 2012

Kemenangan Islam


  Sesungguhnya kemenangan itu tidak datang daripada teriak sorak takbir yang memecah hening dalam semangat kejihadan yang meluap.Kemenangan itu tidak akan muncul bersama ribuan jiwa yang berkumpul berdemonstrasi menolak kemungkaran.Tidak akan terbit walau habis suara menjerit,tidak akan lahir dengan retorik bahasa setinggi langit.

 Sheikh Mustafa Masyhur pernah dengan masyhurnya berkata: "Sesungguhnya tarbiyyah Islamiyyah itu tidak akan berhenti walau setelah munculnya daulah Islamiyyah."

 Sejujurnya perang ini berterusan.Ia bukan asal-asalan,bukan bermusim dan bertakwim.Islam itu bukan tertegak atas pesatnya adrenalin mengalir dalam melawan kejahatan, ia adalah upaya susah-payah setiap jiwa ummatnya dalam perang hawa nafsu yang terpaksa setiap hari dihadapinya.

 Islam itu agama jihad. Dan jihad itu bukan sebarang.

 Jihad itu bukan semata-mata membuktikan keikhlasan di depan manusia. Ia membuktikan perhambaan di depan Allah. Jihad itu bukan sekadar mengangkat senjata, bukan sekadar berdemonstrasi dalam usaha menjatuhkan kerajaan yang penuh angkara.

 Islam itu agama jihad. Dan jihad itu bukan sebarang.

 Jihadnya ummat Islam itu setiap hari.Dalam solat subuhnya setiap pagi.Dalam tekunnya dia menjaga tahajjud.Dalam penuh komitmennya dia menjaga solat berjemaah.Beristighfar ratusan kali sehari. Membiasakan lidah dengan dzikrullah.Bersusah-susah membanyakkan tilawah.Berusaha mendekat jiwa dengan Allah.

Oh,apalah gunanya kerajaan yang Islam jika jiwa-jiwa rakyatnya belum mampu menjadi Muslim?

Dan siapakah yang akan memenuhkan masjid-masjid indah kerajaan Islam ini apabila sampainya waktu-waktu solat fardhu,dan apakah cukup dengan mengagungkan undang-undang Islami untuk kita katakan yang negara itu negara Islam?

 Apakah dengan terpotongnya tangan pencuri tegar dan tersebatnya penzina mungkar itu cukup untuk kita katakan negara itu negara Islam?

Duhai jiwa-jiwa yang mengaku bershahadah,Allah itu berfirman dalam Al-Qurannya:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).Dan mereka yang menjaga kehormatannya,kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi.Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Al-Mukminun:1-11) 
Apakah sudah cukup kita khusyuk dalam solat?Sudahkah kita menjauhi setiap yang sia-sia?Sudah elokkah berzakat?Sudah terjagakah nafsu?Dan sudah tetapkah memelihara solat fardhu?

Kalaulah semuanya belum,istighfarlah.Mungkin belum lagi saatnya untuk kita berani mengaku sebagai pemenang.

Dan mungkin,sorak-sorak mahukan daulah Islamiyyah belum lagi bermakna,kerana dalam setiap solat fardhu kita masih belum mampu mendapatkan jamaah yang penuh,dan khusyuk solatnya.

No comments: