Saturday, February 19, 2011

Mukmin Itu Cengeng

Seorang mukmin itu berpeluang menjadi cengeng biarpun rambutnya sudah memutih.


Manusia itu sebenarnya makhluk yang sangat rapuh.Dan jiwa,oh jiwanya.Jiwa itu memandu seluruh bawaan ekspresinya sehingga setiap inci tindakan penuh berpaksikan bagaimana saat itu jiwanya merasa.

Seorang perompak tidak akan merompak saat jiwanya sedang meranum dengan kasih terhadap Tuhannya.Seorang raja tidak akan zalim ketika jiwanya sedang disemai takut dan harap akan Tuhannya.Seorang pemegang amanah tidak akan khianat ketika jiwanya sedang mendidik agar dia tidak menjadi celaka.

Jiwanya itu berperanan kuat,samada waktu dipandu syahwat,atau ketika bijaksana sedang tekun mengingat.

Dan atas itu dia rapuh.Jiwanya yang kuat mendominasi dirinya juga merupakan sudut yang paling lemah.Dengan jiwanya itu manusia bertindakbalas dengan setiap ransangan yang mendatanginya.

Bila tersilap dia berasa kesal.Bila tertipu dia berasa marah.Bila baik akhlaknya dia berasa suci.Bila cukup keperluannya dia berasa tinggi.

Sebenarnya jiwa itu bersifat memerlukan.Ia mahu menjadi damai,mahu menjadi tenang.Dalam mencari damai itu sering ia tersilap cari;lantas menjadi kehilangan hingga membawa gersang dan bersifat kekeringan.

Bila menjadi hilang punca,tidak keruan,dan galau; manusia itu sebenarnya mahu menangis.Ia mahu menangis agar nanti ada yang mendengar rintihannya akan masalah yang tidak mahu hilang.Mahu agar ada tangan yang tiba-tiba menghulur dan menyelamatkan.

Dan seorang mukmin itu,dia selalunya cengeng.Biar kedutnya seribu,dia cengeng seperti kanak-kanak.

Oh,seorang mukmin itu bila bermasalah,dia percaya adanya Allah.Lalu melaju dia menyusun sembah.Matanya membasah kerana terlalu takut dan terlalu harap.

Dan Sang Nabi pedoman paling murnimu berkata:

Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya sendiri (yakni hari kiamat), iaitu 1)imam (kepala atau pemimpin) yang adil,2)pemuda yang membesar (sejak kecilnya) dalam beribadat kepada Allah,3)orang yang hatinya tergantung (sangat memerhatikan) kepada masjid-masjid,4)dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula.5)Orang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah," (demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti di atas)

6)J
uga orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya.7)Dan orang yang mengingat pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya."

Lalu menangislah.Bangunlah di sepertiga malammu.Biar setiap zarah derita yang membungkam dalam jiwamu menjadi puas akibat aduanmu kepada yang selayaknya kau mengadu. Lepaskanlah seluruh lelah yang kau kumpulkan akibat masalah yang terlalu menekan. Menangislah atas dosa-dosamu dahulu yang sangat menghantu,yang dahulu pernah menjadi candu.

Menangislah seperti budak-budak yang hilang akal kerana keputusan susu.Kerana di sini kau keputusan rindu,kau mahu menyambung jalin-jalin cinta dengan Tuhanmu.

Moga selepasnya,setelah habis kau mengadu,kau puas.Setiap desakan telah terlampias.

Dan moga selepasnya,kau menjadi pencinta Tuhan yang paling ikhlas.

Amin Ya Rabb.

3 comments:

Zafira said...

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, manusia masa kini terlalu mendesak dan kuat amat untuk menganiaya manusia lainnya.

Saya jadi sedih, yang mencemburui itu lazimnya insan yang kita anggapi mampu menjadi suatu contoh kemas untuk kita menjadi manusia yang lebih baik.

Manusia kini, dengkinya tiada bertepi. Irinya berapi-api. Peringatan untuk diri sendiri ini sudah pasti, qalbu itu rupanya yang wajib dijaga rapi, tepis sedayanya godaan syaitan yang cuba mendekati. Melawan sepenuhnya tiadalah mampu diri, namun bermuhasabah selalu mampu mengingat diri berkali dan berkali.

Syukran atas penghasilan artikel ini.

cckay said...

kadang2 kekuatan tu ada..kadang2 ia hanyut teruss...

shazleeshahazeman said...

zafira: afwan,wa jazakillah khairan.ya,itu sifatnya ujian jiwa.jarang manusia terselamat daripadanya.dan apabila tewas,yang lebih wajar adalah supaya kita istighfar dan belajar.

Hani: mari bersama berdoa agar terus kuat.